Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Negara Malaysia, Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, yang sedang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Mesyuarat dua hala dwitahunan antara Mahkamah Besar NBD dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.
Menyertai Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid pada Majlis Mengadap tersebut ialah isteri kepada Ketua Hakim Negara Malaysia, Yang Berbahagia Toh Puan Intan Baizura binti Abdul Wahab; Presiden Mahkamah Rayuan, Yang Amat Arif Datuk Seri Abu Bakar bin Jais; Hakim Besar Malaysia, Yang Amat Arif Datuk Seri Hashim bin Hamzah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Datuk Hajjah Azizah binti Haji Nawawi; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan; dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azhaniz Teh bin Azman Teh.
Turut hadir semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Ketua Hakim Mahkamah Besar, NBD, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Awang Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kolonel (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Kefli; Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; dan Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.
Pada Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara Malaysia menyentuh mengenai perkembangan kerjasama kehakiman yang terus diperkukuhkan diantara Mahkamah Besar NBD dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid telah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara Malaysia sejak 28 Julai 2025 dan lawatan tersebut merupakan lawatan pertama beliau ke NBD dalam kapasiti tersebut.